PETALING JAYA – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan aksi lima bintang selepas menewaskan Sabah FC 5-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, JDT yang dikendalikan oleh Esteban Solari membariskan kesebelasan terbaik dengan pemain bertaraf bintang seperti Bergson da Silva, Heberty Fernandez dan Juan Muniz mengetuai jentera serangan.
Namun, skuad Harimau Selatan terlebih dahulu dikejutkan menerusi gol awal yang dilakukan oleh bekas penyerang skuad B-23 negara, Jafri Chew pada minit ke-13.
Tersentak dengan jaringan itu, pasukan JDT memperkemaskan jentera serangan dan meraih gol menerusi ledakan cantik yang dilakukan oleh Muniz berselang tiga minit kemudian.
Nasib menyebelahi pendahulu Liga Super itu apabila dihadiahkan penalti oleh pengadil perlawanan dengan Bergson mudah menyempurnakan peluang terhidang pada minit ke-25.
Bersambung pada babak kedua, JDT semakin garang apabila kini giliran penyerang baharu, Heberty mencetak nama selaku penjaring ketika saing baru dimulakan tiga minit.
Bergson memastikan JDT semakin selesa apabila meledak gol kedua pada minit ke-62 peribadi sebelum melengkapkan jaringan hatrik pada minit ke-73.
Kedudukan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan dengan JDT kini gah meraih kemenangan ke-19 dalam saingan liga berturut-turut musim ini. – KOSMO! ONLINE