BINTANG kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi tidak akan menyertai pasukan bawah 23 tahun (B-23) negara pada mana-mana kejohanan akan datang, sebaliknya akan memberi tumpuan bersama skuad Harimau Malaya.
Perkara tersebut disahkan oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon yang mahu Arif kekal menjalani latihan bersama pasukan senior sebagai proses persiapan ke Piala Asia 2023 bermula September depan.
Kata Pan-gon, Arif sudah terlalu bagus dan tidak sepatutnya ‘turun pangkat’ bermain pada kejohanan bertaraf B-23 seperti kelayakan Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung pada September nanti.
“Pada September depan, kita akan harungi perlawanan bertemu Syria dan China di negara China. Cuma, perubahan yang dilakukan kali ini adalah kita melepaskan sebahagian besar pemain B-23 bersama skuad B-23 kerana pertindihan jadual.
“Skuad B-23 akan mengharungi aksi kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand dan semua pemain yang layak akan menguatkan pasukan kecuali Arif Aiman kerana dia sudah tidak sesuai untuk bersama mereka.
“Bagi pemain B-23 yang lain, sudah tentu ia adalah peluang untuk membuktikan keupayaan sebenar dan mendapatkan pengalaman di pentas antarabangsa,” kata pengendali import dari Korea Selatan itu ketika ditemui semalam.
Sementara itu, Pan-gon mengakui pasukan bakal mengharungi persiapan yang sempurna apabila berdepan negara-negara di ranking terbaik sebelum ke kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.
“Kita sudah ada jadual yang lengkap kerana selepas aksi antarabangsa di China, kita akan anjurkan Pestabola Merdeka menentang India pada aksi pertama, Oktober depan.
“Kemudian kita akan fokus pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November sebagai persiapan terakhir sebelum ke Piala Asia 2023 nanti,” katanya lagi.