“Amerika, saya berbesar hati kerana anda telah memilih saya untuk memimpin negara hebat ini.
“Saya berjanji akan menjadi Presiden untuk semua rakyat Amerika tidak kira anda mengundi saya atau tidak,” tulis Joe Biden dalam Twitter rasminya selepas diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-46 Ahad lalu.
Tambah Biden, beliau akan menjaga kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat kepadanya.
Pemimpin berusia 77 tahun itu berjaya memperolehi 290 undi elektoral mengalahkan pencabarnya Donald Trump daripada parti Republikan yang hanya meraih 214 undi elektoral.
Sekali gus, keputusan itu menyaksikan Biden menjadi calon Demokrat pertama dalam tempoh 24 tahun memenangi undi elektoral di Arizona selepas turut menang besar di California, New York, Minnesota dan New Hampshire yang pernah dimenangi Hillary Clinton pada 2016.
Kejayaan Biden dengan kempen bertemakan A Battle for the Soul of the Nation telah menyekat hasrat Trump untuk menjadi presiden bagi penggal kedua.
Biden meminta rakyat AS untuk bersatu setelah bertahun-tahun hidup dalam perpecahan.
“Orang-orang di negara ini telah bersuara, mereka memberikan kemenangan yang meyakinkan.
“Saya berjanji untuk menjadi presiden yang berusaha menyatupadukan kembali rakyat negara ini,” ujar pemegang Doktor Falsafah dalam bidang undang-undang daripada Syracuse University College of Law, New York itu.
Ulasnya lagi, sudah tiba masanya untuk kita bersatu dan membuang kebencian antara kaum di AS.
Beliau turut berpesan agar berhenti melayan pihak lawan sebagai musuh kerana kita semua adalah rakyat AS.
Biden menyatakan sokongannya kepada semua pihak termasuklah tua, muda, penduduk bandar, luar bandar, gay, normal, transgender, latin, Asia dan orang asli Amerika dan orang kulit hitam mahupun putih.
Perkara itu dibuktikan dengan pelantikan Kamala Harris yang merupakan Senator California sebagai Naib Presiden AS.
Kamala mencipta sejarah sebagai wanita pertama dan orang kulit hitam pertama berketurunan Asia Selatan yang dilantik ke jawatan tersebut.
“Walaupun saya merupakan wanita pertama di pejabat ini tetapi tidak akan menjadi terakhir kerana ia akan disambung oleh setiap gadis kecil di AS,” kata Kamala berdarah kacukan kulit hitam Jamaica dan India itu dipetik.
Sementara itu, menyingkap sejarah perjalanan politik Biden, beliau bukan calang-calang orangnya kerana pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden AS semasa pentadbiran Barack Obama pada tahun 2008 hingga 2016.
Selepas lulus sekolah undang-undang pada tahun 1968, Biden telah berpindah ke Wilmington, Delaware untuk berlatih di sebuah firma undang-undang.
Di situ beliau memulakan kerjaya politiknya apabila menjadi anggota aktif Parti Demokrat dan pada 1970 beliau dipilih sebagai ahli Majlis New Castle, Delaware.
Pada tahun 1971, Biden telah memulakan firma guamannya sendiri dan pada masa yang sama aktif dalam bidang politik.
Siapa sangka bapa kepada empat orang cahaya mata itu yang membesar dengan masalah gagap, mampu menjadi peguam dan ahli politik berjaya.
Beliau mengatasinya dengan berlatih membaca puisi-puisi Ireland.
“Saya melihat Biden sebagai sumber inspirasi,” kata seorang kanak-kanak gagap dari AS, Braydern Harrington, 13.
Anak sulung daripada dua beradik itu juga menjadi salah seorang senator AS termuda yang kelima dalam sejarah negara itu.
Beliau juga juga merupakan senator Delaware paling lama berkhidmat iaitu selama 36 tahun.
Salah satu pencapaiannya yang terbesar ketika menjadi ahli senat ialah menulis dan meluluskan Akta Keganasan Terhadap Wanita.
Biden memberi penghargaan kepada kedua-dua ibu bapa iaitu Joseph Biden Sr. dan Catherine Eugenia kerana memupuk sifat tekun dan kerja keras dalam dirinya
“Ayah pernah berpesan, ukuran seorang lelaki itu bukan seberapa sering dia jatuh, tetapi seberapa cepat dia bangun.
“Kata-kata bapa itu menjadi pembakar semangat untuk menghadapi liku-liku hidup yang mencabar,” ujarnya yang dibesarkan di bandar Scranton, utara Pennsylvania.
Bapa Biden pada awalnya pernah menjadi usahawan yang kaya tetapi ekoran masalah kewangan dan kemerosotan ekonomi di Scranton pada waktu itu, telah mengubah nasib mereka sekeluarga.
Joseph tidak mampu mencari pekerjaan yang stabil lalu menjadi penjual kereta terpakai untuk menyara keluarga.
Dalam pada itu, tersimpan tragedi hitam di dalam hidup Biden yang mengubah hidupnya iaitu kemalangan maut yang meragut nyawa isteri dan anak perempuannya seminggu sebelum Krismas pada tahun 1972.
Pada ketika itu, isterinya, Neilia Hunter terlibat dalam kemalangan kereta bersama tiga orang anak selepas pulang membeli-belah bagi persiapan menyambut perayaan itu.
Dalam kemalangan tersebut hanya dua orang anak lelaki Biden yang terselamat.
“Kehilangan ini sangat berat untuk saya terima sehingga berasa putus asa dan pernah terfikir cuba membunuh diri.
“Saat itu saya memahami bagaimana sesuatu musibah yang terjadi telah meragut kewarasan dan semangat untuk meneruskan kehidupan,” ceritanya yang berpegang kepada agama Katolik.
Setelah berfikir dan cuba menenangkan diri, Biden sedar bunuh diri bukan keputusan yang rasional.
Walaupun diuji dengan kehilangan orang tersayang, Biden tekad untuk meneruskan komitmennya sebagai wakil rakyat Delaware di senat dengan dorongan daripada keluarganya.
Demi memastikan beliau sentiasa berada bersama dua orang anak lelakinya yang sedang dirawat di hospital, Biden memilih untuk mengangkat sumpah sebagai senator di sisi cahaya matanya itu dan bukan di Washington seperti kebiasaannya.
Beliau juga memutuskan untuk terus tinggal di Wilmington bersama anak-anaknya dan berulang alik ke Washington setiap hari dengan menaiki kereta api yang mengambil masa satu jam 30 minit ke pejabat senat. Rutin perjalanan yang panjang itu diteruskan sehingga 36 tahun bergelar ahli senat AS.
Pada 1975, Biden dipertemukan dengan isteri keduanya, Jill Jacobs yang merupakan seorang guru dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.