BANGKOK – Seorang anggota polis menembak penghantar barang yang tidak bersenjata kerana dia didapati melanggar peraturan dengan memakai topi keledar dalam sebuah pusat beli-belah, lapor laman berita Thaiger semalam.
Arkorn Yuenyong, 27, ditembak pada kaki kirinya sekitar pukul 5.30 petang (waktu tempatan), semalam oleh Timbalan Inspektor Trafik, Phantae Buawichaisin di wilayah Pathum Thani, Thailand.
Konfrontasi dilaporkan berlaku berikutan keengganan Arkorn mematuhi arahan pegawai polis untuk menanggalkan topi keledar di dalam pusat beli-belah.
Arahan itu dikeluarkan untuk menjaga keselamatan bank dan kedai emas di pusat beli-belah tersebut kerana kebanyakan pencuri menyembunyikan identiti mereka dengan memakai topi keledar.
Rakan sekerja Arkorn, Sakkarin Chato, memberitahu bahawa mangsa memakai topi keledar di dalam pusat beli-belah itu hampir setiap hari untuk memasukkan wang di mesin deposit tunai automatik.
Tambahnya, mereka tidak menanggalkan topi keledar kerana mempunyai jadual yang padat untuk menghantar bungkusan.
Jelas Sakkarin, dia dan Arkorn pergi ke lokasi tersebut untuk mendepositkan wang di Siam Commercial Bank (SCB) pada hari kejadian. Seorang pegawai polis yang duduk di medan selera kemudian menghampiri Arkorn dan meminta dia menanggalkan topi keledarnya.
Arkorn menyelesaikan transaksinya dan meninggalkan pusat beli-belah itu seperti yang dipapar rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), namun enggan menuruti arahan polis.
Mangsa segera dibawa ke hospital oleh petugas kecemasan manakala motosikalnya tanpa nombor pendaftaran ditemui di hadapan pasar raya. – Agensi