PETALING JAYA – Seramai 60,000 orang rakyat Malaysia telah mengambil bahagian dalam
penganjuran Hari Sarapan Malaysia (Malaysia Breakfast Day, MBD) 2023 baru-baru ini, yang diadakan di tiga lokasi di Putrajaya, Sabah dan Sarawak.
Selain acara tradisi MBD, iaitu Larian Milo yang terus mendapat sambutan hangat, MBD 2023 turut
menampilkan Milo Goodness Tour, sebuah kilang mudah alih Milo yang mempamerkan proses
bagaimana minuman Milo dihasilkan.
Ia membolehkan pelawat terlibat dan belajar tentang kebaikan Milo melalui perjalanan multimedia yang unik serta memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang nilai dan usaha kemampanan Milo.
Pegawai Eksekutif Perniagaan, Milo, Nestlé (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen berkata, kehadiran luar biasa dalam MBD kali ini mengukuhkan kepercayaan bahawa usaha jangkauan komuniti yang dilakukan pihaknya membuahkan hasil positif dalam menyokong gaya hidup lebih sihat.
“Ini penting kerana berdasarkan laporan baru-baru ini, remaja Malaysia dilihat tidak aktif secara fizikal atau hanya terlibat dalam aktiviti kecergasan pada tahap sedentari (aktiviti sambil duduk).
“Walaupun ini membimbangkan, rakyat Malaysia terus mempamerkan semangat dan komitmen yang tinggi untuk meningkatkan kesejahteraan mereka apabila beribu-ribu orang berkumpul untuk menyertai MBD,” katanya dalam satu kenyataan.
Su Yen menjelaskan, melalui sumbangan yang diterima untuk keluarga B40 dan perkongsian pengetahuan mengenai kemampanan, MBD 2023 sememangnya telah mencapai matlamatnya untuk memupuk kesejahteraan yang baik. -KOSMO!ONLINE