PETALING JAYA – Pemimpin di Kelantan, Terengganu dan Kedah dinasihatkan untuk menambah baik sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terlebih dahulu, sebelum ‘bercita-cita’ mengambil alih negeri yang dipimpin Pakatan Harapan (PH).
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sumbangan Kelantan pada masa ini adalah sebanyak 1.8 peratus daripada nilai KDNK dan ia terlalu rendah sekali gus perlu ditingkatkan.
“Kalau nak Selangor, apa kata tambah baik dulu sumbangan kepada KDNK, jadikan 3.5 peratus. Kalau Kelantan, Kedah dan Terengganu buat itu dulu, kalau dia boleh buat, kita serah Selangor kat dia.
“Ada yang kata, mana boleh banding Selangor dengan Kelantan, memang betul tapi Selangor sebelum ini ditadbir oleh pembangkang, Kelantan pun pembangkang, Pulau Pinang pun pembangkang tapi boleh membangun. Akhirnya ia tertakluk kepada kepimpinan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Bicara PRN, Malaysia di Ambang Pemulihan ditayangkan secara langsung pada Facebook semalam.
Johari berkata, untuk membangunkan ekonomi negara, ia sepatutnya melibatkan sumbangan dari negeri-negeri.
“Mungkin Kelantan tak dapat sampai 25 peratus, tapi mungkin patut dapat 12 ke 13 peratus sebab kalau nak bangunkan ekonomi negara, dia kena ‘pergi’ ke negeri.
“Selangor sumbang 25 peratus, Johor 25 peratus, Kelantan 15 peratus, Terengganu 16 peratus, jadi besarlah ekonomi Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE