BEBAKI dua hari sahaja lagi, seluruh masyarakat di enam negeri yang berusia 18 tahun ke atas akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
Negeri-negeri tersebut adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Pengundian ini dibuat bagi memilih wakil rakyat untuk berkhidmat di Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Lumrah pada hari pengundian, terdapat banyak prosedur yang perlu dilalui bagi memastikan proses pengundian berlaku dalam keadaan telus dan teratur.
Oleh itu, pada minggu ini, Horizon ingin berkongsi tip kepada pembaca sebelum keluar mengundi.
Buat semakan daftar pemilih
Untuk memastikan kelancaran ketika membuang undi, sila buat semakan daftar pemilih di https://mysprsemak.spr.gov.my/semakan.
Antara maklumat yang perlu diambil kira adalah lokasi pusat mengundi, saluran dan masa keluar mengundi disarankan.
Masa mengundi itu adalah untuk memastikan pengundi tidak datang secara serentak yang akhirnya menjadikan masa membuang undi menjadi lama.
Sediakan dokumen selengkapnya
Bawa semua pengenalan diri yang diperlukan oleh petugas pusat mengundi untuk tujuan pengesahan.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), antara dokumen yang perlu dibawa kad pengenalan diri/ pasport/ lesen memandu/ dokumen pengenalan sementara/ resit laporan kehilangan kad pengenalan.
Kegagalan membawa salah satu dokumen tersebut akan menyebabkan anda tidak layak mengundi.
Selidik dahulu calon wakil rakyat
Penting untuk mengetahui calon wakil rakyat yang hendak diundi sebelum tiba di kawasan mengundi.
Ini bagi memastikan tidak berlakunya kekeliruan sewaktu proses membuang undi sehingga berlakunya undi rosak.
Proses ini juga penting agar tidak berlaku pembaziran masa kerana pengundi tidak dapat buat keputusan.
Tonton video SPR tentang tatacara mengundi
Pengundian bukanlah satu acara tahunan, jadi tidak hairanlah sekiranya ada pihak yang terlupa tentang tatacara membuang undi.
Oleh itu, penting untuk menonton semula video yang disediakan SPR tentang perjalanan proses pengundian.
Ini boleh mengelakkan situasi terpinga-pinga sehingga menyebabkan keraguan terhadap undian anda.
Pakai pakaian sesuai
Hadir ke tempat pengundian dengan memakai pakaian yang sopan dan sesuai untuk urusan rasmi.
Pastikan anda tidak memakai atau membawa barangan yang melambangkan mana-mana simbol parti politik bertanding.