MELAKA – Seorang pembantu operasi Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Bukit Rambai, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, mangsa, Mohd. Fais Basir, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yahama Y15ZR dalam perjalanan dari arah Taman Rambai Utama menuju ke Bank Simpanan Nasional (BSN) Rambai Jaya.
Ujarnya, kemalangan berlaku selepas sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz ditunggangi wanita berusia 25 tahun dari arah Taman Rambai Jaya telah keluar simpang untuk membelok ke kanan.
“Mangsa yang sedang bergerak lurus di jalan utama tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal tersebut yang berada di tengah jalan.
“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak dan disahkan maut di tempat kejadian, manakala wanita berkenaan yang cedera di bahagian kaki serta tangan kanan telah dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Christopher, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE