LUMUT – Impian seorang warga emas yang juga orang kelainan upaya (OKU) untuk mendapatkan MyKad akhirnya tercapai selepas 64 tahun dia tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
Saftiah Johari dari Kampung Padang Tembak di sini memperoleh MyKad berkenaan menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak.
Pengarah JPN Perak, Raja Azlal Raja Azman berkata, kes warga emas tersebut mendapat perhatian daripada pihaknya sebelum tindakan diambil bagi membolehkan wanita berkenaan memiliki kad pengenalan diri.
Jelasnya, menerusi program berkenaan, pihaknya telah mengambil tindakan proaktif dengan mendapatkan keterangan dan membantu Saftiah bagi memproses permohonan MyKad pada 8 dan 12 Julai lalu di kediamannya.
“Hasil siasatan mendapati faktor keadaan Saftiah yang terlantar dan tidak boleh bergerak menjadi punca permohonan MyKad warga emas itu tidak dimohon di JPN.
“Usaha JPN Perak dalam memproses MyKad Saftiah telah dapat meringankan masalah kepayahan hidup dan kesukarannya bagi memohon bantuan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! pada 7 Julai lalu melaporkan tentang nasib yang menimpa Saftiah kerana masih belum memiliki MyKad biarpun usianya telah menginjak 64 tahun.
Menurut ahli keluarganya, usaha untuk mendapatkan MyKad buat Saftiah menemui jalan buntu apabila berhadapan dengan pelbagai kekangan termasuklah penularan pandemik Covid-19.
Sementara itu, kakak Saftiah, Naina, 74, berkata, dia dan ahli keluarga melahirkan rasa syukur kerana adiknya itu akhirnya berjaya memiliki MyKad biarpun usianya telah berusia 64 tahun.
“Saya berterima kasih kepada JPN Perak kerana membantu adik mendapatkan MyKad. Urusan yang dilakukan begitu pantas.
“Kami juga lega kerana tidak perlu menjawab lagi pertanyaan mana-mana pihak berhubung ketiadaan kad pengenalan itu.
“Dengan adanya MyKad itu, ia akan lebih memudahkan kami untuk melaksanakan sebarang urusan yang melibatkan Saftiah,” katanya.