IPOH – Kerjasama ekonomi serantau menerusi blok Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dijangka memberi manfaat buat Perak dalam menjayakan Kempen Tahun Melawat Perak 2024.
Perkara itu disuarakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kerana melihat kedudukan negeri yang bersempadan dengan Indonesia dan Thailand.
Jelasnya, Tahun Melawat Perak 2024 juga diadakan seiring dengan kempen pelancongan melibatkan zon IMT-GT.
“Peluang daripada ini adalah untuk mempromosi kepada jiran kita. Kita akan bekerjasama antara satu sama lain. Saya percaya itu akan dapat membantu untuk mempromosikan Malaysia, apatah lagi Perak,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir ke Mesyuarat Majlis Kerjasama Hijau Sub Wilayah IMT keenam di sini hari ini.
Berdasarkan rekod terkini setakat 2018, jumlah kemasukan pelancong asing yang untuk kerjasama IMT-GT adalah mencecah 44 juta.
Dalam pada itu, Saarani berkata, mesyuarat yang diadakan bertujuan menangani pelbagai cabaran alam sekitar dan sosial dengan menggalakkan pengurusan sumber yang bertanggungjawab serta mengurangkan pencemaran dan sisa.
Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana penganjuran mesyuarat itu diadakan di Perak buat julung kali.
“Tiga negara ini berada dalam kawasan yang sama. Budaya dan cara kerja banyak persamaan. Oleh itu pengurusan secara lestari perlu melalui kerjasama,” katanya. – KOSMO! ONLINE