fbpx

Mahkamah: Bekas Guru Besar SRA dijel sehari, denda RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamaludin ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Perbuatan seorang bekas guru besar sebuah Sekolah Rendah Agama (SRA) terlibat rasuah projek SRA membawa padah apabila dipenjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Datuk Anita Harun menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Kamaludin Sahlan, 51, menukar pengakuan bersalah terhadap pertuduhan dihadapinya.

Bapa kepada seorang anak itu juga diperintahkan menjalani tambahan penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Sementara, wang bernilai RM100,000 dalam akaun tabung haji milik seorang lelaki atas kesalahan Kamaludin dilucutkan kepada kerajaan Malaysia selain wang jaminan RM30,000 dikembalikan kepada tertuduh.

Kamaludin sebelum ini bertugas di SRA dalam daerah Petaling Jaya didakwa telah meminta 11 peratus daripada seorang lelaki sebagai dorongan serta membantu individu tersebut mendapatkan kerja-kerja selenggara dan naik taraf bangunan dan infrastruktur SRA dalam daerah Petaling dan Kuala Selangor.

Tertuduh juga didakwa menerima RM164,800 menerusi pindahan atas talian ke akaun bank miliknya daripada seorang lelaki berusia 53 tahun atas tujuan sama.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Telok Panglima Garang, Kuala Langat dekat sini dan sebuah cawangan bank di Kota Kemuning, Seksyen 31 di sini antara Mei 2019 hingga 21 April 2021.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah mengambil kira pengakuan tertuduh dengan penjatuhan hukuman dibawah pertuduhan pertama.

Peguam Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan dalam rayuan bagi Kamaludin memaklumkan anak guamnya itu sangat menyesal dan insaf atas kesalahan dilakukan.

“Kami memohon hukuman ringan memandangkan Kamaludin bukan sahaja akan dipenjara atau denda malah kehilangan kerja, gratuiti dan pencen,” jelasnya.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohd. Alif Shaharuzaman menegaskan kesalahan rasuah adalah serius dan telah bermaharajalela dalam masyarakat.

Kosmo! pada 15 Mac tahun lalu melaporkan dua guru termasuk seorang guru besar yang disyaki berkomplot dalam rasuah projek naik taraf 27 bangunan SRA direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI