PETALING JAYA – Ibu kepada penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman hadir buat pertama kali di Mahkamah Sesyen di sini bagi mengikuti prosiding kes.
Menurut adik kepada Yasin, Marwan Sulaiman meskipun hari ini ibunya Suzanah Abdullah, 73, hadir pertama kali di mahkamah, tetapi ibunya itu sentiasa menziarah Yasin di penjara.
“Ibu sebenarnya selalu menziarah Yasin di penjara,” kata Marwan ketika ditemui media selepas pengurusan kes Yasin.
Kata Marwan, 31, ibunya hadir ke mahkamah bagi memberi sokongan dan semangat kepada Yasin.
“Hari ini rasa macam tarikh penting, nak tahu apa berlaku dan apa perancangan mahkamah. Ibu ambil keputusan nak datang hari ini untuk beri sokongan dan pastikan Yasin dalam keadaan baik,” katanya.
Menurutnya lagi, keadaan kesihatan ibunya adalah baik, namun berdasarkan usia tidak boleh hadir ke mahkamah setiap minggu seperti anak muda.
Terdahulu, Hakim, Faiz Dziyauddin, membenarkan sepina dikeluarkan terhadap Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Loyd Anthony, untuk dijadikan saksi pembelaan kes berkenaan, selain mengekalkan tarikh bicara pada 28 dan 29 Ogos ini.
Kebenaran sepina diberikan selepas dimohon peguam, Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin manakala pihak pendakwaan mengesahkan akan memanggil antara lapan hingga 10 saksi. – KOSMO! ONLINE