KUALA LUMPUR – Vokal Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menakjubkan mendorong komposer antarabangsa, David Foster mencabar penyanyi nombor satu negara itu membawakan lagu bernada tinggi dipopularkan Celine Dion berjudul All By Myself secara spontan, kelmarin.
Biarpun karya ciptaan dan dendangan asal Eric Carmen pada 1975 itu tiada dalam senarai Konsert Hitman: David Foster and Friends Asia Tour 2023 di Mega Star Arena, penghibur itu tetap memenuhi permintaan maestro muzik dihormatinya.
Tepukan gemuruh bergema di gelanggang acara di Plaza Sungei Wang itu sebaik Siti menyampaikan tiga rangkap seleksi malar segar yang menjadi siulan ramai hingga ke hari ini.
Biarpun tidak meneruskan nyanyian hingga ke baris akhir, beliau yang cukup yakin berbual dengan pemuzik idola ramai itu berjanji akan menyampaikan seleksi hits berkenaan pada persembahan akan datang.
Akui Siti yang tidak berselindung memaklumkan perlu berlatih dahulu sebelum membawakan lagu tersebut.
Bukan hanya 3,000 penonton bersorak membayangkan kekaguman, Foster yang mengundang satu-satunya penghibur Malaysia itu untuk tampil dalam konsertnya di Kuala Lumpur, selain di Singapura turut melayangkan pujian.
“Beliau mempunyai suara yang sangat merdu, saya sangat menyukainya,” luah penerima 16 Anugerah Grammy itu pada konsert amal anjuran Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) yang disambut jeritan ramai.
Sebelum itu, Siti menyampaikan hits dendangan asal Jennifer Rush tetapi dipopularkan Dion, The Power of Love yang membuatkan khalayak terpukau dengan lenggok nyanyian yang tersendiri.
Nyata percaturan pemuzik asal Kanada itu mengundang Siti sebagai pilihan tepat untuk berkongsi pentas dengan Michael Bolton, Peabo Bryson, Loren Allred dan Katharine McPhee.
Video membabitkan kolaborasi antara Siti dan Foster turut tular di laman sosial hingga ramai meninggalkan komen dengan memujinya sebagai Celine Dion Malaysia.
Pada persembahan mega tersebut, penggiat seni berusia 44 tahun itu ti menyampaikan sebuah lagu baharunya daripada album SITISM Sehebat Matahari yang turut diiringi petikan piano Foster.
Konsert Hitman: David Foster and Friends Asia Tour 2023 yang berdurasi sekitar dua jam menyaksikan rangkaian katalog lagu popular seperti When a ManLove a Woman, Beauty and the Beast, A Whole New World dan I Swear.
Kali pertama kedua-dua figura itu sepentas adalah sekitar sembilan tahun lalu apabila Foster mengiringi penyanyi tersebut membawakan I Will Always Love You (Whitney Houston) pada Malam Gala Sapura Kencana Petroleum Malaysia Grand Prix. – KOSMO! ONLINE