fbpx

SPRM minta JIM beku pasport menantu Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua lelaki yang sedang dikesan SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meminta kerjasama Jabatan Imigresen (JIM) bagi membekukan pasport menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang lagi individu.

Kedua-dua mereka diperlukan bagi isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Datuk Muhammad Adlan Berhan dan seorang individu dikenali sebagai Mansoor Saat, 69, diperlukan untuk tindakan mahkamah.

“Seperti mana telah keluar kenyataan sebelum ini, kedua-dua mereka dikehendaki datang ke SPRM. Saya tegaskan kita banyak kali berhubung dengan beliau dan peguam serta seorang lagi individu, namun gagal hadir ke pejabat.

“Mereka diperlukan untuk tindakan mahkamah. Kedua-dua individu ini adalah senarai dikehendaki dan berkemungkinan melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 27 Bil 2/2022 (Penguasa P41) di sini hari ini.

Azam (dua kiri) memeriksa baris pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 27 Bilangan 2/2022 di Menara Penguatkuasa DBK, Kuala Lumpur. Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

Ditanya lokasi negara mereka melarikan diri, Azam enggan mendedahkan perkara tersebut.

“Yang itu tak boleh ‘share’, tapi luar negara. Kita syaki di sebuah negeri, tapi tak boleh ‘share’. Kita dah minta kerjasama polis dan imigresen,” katanya.

Azam berkata, sekiranya masih tiada maklumat daripada kedua-dua mereka, tindakan akan dibuat dalam tempoh terdekat.

“Pihak saya (akan) memohon bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) supaya dimasukkan dalam notis merah,” jelasnya.

Katanya, jika terdapat keterangan diperlukan daripada Muhyiddin, SPRM akan turut memanggil beliau berhubung siasatan tersebut.

“Ia bergantung, jika ada keterangan (Muhyiddin) yang diperlukan,” katanya.

Kelmarin, SPRM dalam kenyataannya memaklumkan, sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Hasil semakan SPRM dengan JIM, kedua-dua penama berkenaan telah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu serta tiada rekod masuk kembali ke negara ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI