PORT DICKSON – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh di hadapan penyokong Kerajaan Perpaduan tindakannya berkempen untuk UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini boleh dianggap “hebat”.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, tindakannya itu adalah demi kebaikan buat rakyat Malaysia tidak kiralah orang Melayu, Cina mahupun India.
“Bayangkan… saya kadang-kadang tengok juga, Anwar Ibrahim kempen untuk Umno kira hebatlah, tapi ini kenyataannya untuk kebaikan orang Melayu dan negara Malaysia, yang orang Cina, orang India jamin lebih selamat.
“Saya minta jangan kita pandang ringan, pilihan raya ini penting perkuatkan Negeri Sembilan supaya kerjasama peringkat persekutuan lebih baik.
“Kalau kita salah guna kuasa wajib ditentang. Melaka (Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh), saya nak puji, kumpul kekuatan semua dan kemudian bawa pembangunan di negeri Melaka terima kasih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi di Rumah Rakyat Pengkalan Durian, di sini, malam tadi.
Terdahulu, Anwar turut menerangkan negara ini dalam keadaan baik dan aman juga disebabkan peranan yang dimainkan oleh pasukan polis serta tentera.
“Sebab itu saya berbincang dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri) dan jemaah menteri, kita kena jaga mereka (polis dan tentera) ini.
“Di Lahad Datu (Sabah), polis terbunuh, tentera terbunuh serangan dari pengganas Sulu. Mereka tulis surau kepada Perdana Menteri masa itu minta supaya kemudahan tambahan diberi, tempat duduk biarlah selesa sedikit, tak jawab kerana wang tak ada.
Menurutnya, sebaik mendapat pengesahan dari Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan) dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri), beliau telah meluluskan peruntukan RM40 juta bagi menaik taraf infrastruktur dan kuarters untuk kakitangan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
Selain itu ujar beliau, peruntukan sebanyak RM200 juta juga diberikan untuk memperbaiki rumah polis yang rosak dan RM200 juta lagi untuk rumah tentera yang daif. – KOSMO! ONLINE