BIARPUN kali pertama beraksi di Sukan Asia, namun ia tidak sama sekali melunturkan semangat atlet karate berusia 20 tahun, Zakiah Adnan untuk membutirkan pingat di Hangzhou, China pada September depan.
Atlet berasal dari Kampung Ladang, Kuala Terengganu itu meraih tiket ke Sukan Asia Hangzhou 2022 berdasarkan kejayaannya meraih pingat gangsa acara kumite wanita bawah 61 kilogram (kg) pada Kejohanan Karate Asia ke-19 di Melaka pada Julai lalu.
Penuntut pra-universiti di Sekolah Sukan Bukit Jalil itu berkata, dia enggan mensia-siakan peluang sekali gus mahu bertekad untuk mencipta kejayaan dan mengharumkan nama negara di pentas Asia.
“Saya akan gunakan kaedah sama, tetapkan matlamat, saya tampal matlamat saya pemenang pingat emas AKF (Kejohanan Karate Asia 2023) pada dinding gelanggang latihan, meja ulangkaji, dalam bilik tidur.
“Ia sebagai peringatan supaya saya tidak lalai dan kekal berada di landasan ke arah matlamat yang saya inginkan. Seperti di AKF, saya gagal meraih emas tapi tergelincir pun saya dapat gangsa,” kata Zakiah, ketika ditemui di gelanggang latihan di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.
Zakiah yang menjadikan jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang, berharap satu hari nanti dia dapat mengikut jejak langkah seperti sebagai idolanya yang mengecapai pelbagai kejayaan.
“Mengenai cabaran di Sukan Asia nanti kalau boleh saya enggan terlalu memikirkan kehebatan pesaing yang lebih hebat di pentas Asia. Jika diikutkan jurang kemampuan saya dengan atlet nama besar antarabangsa tidak jauh, cuma saya kurang dari segi pengalaman.
“Apapun, saya tidak boleh pandang mudah cabaran luar kerana antara pencabar yang dapat saya lihat nanti di Hangzhou ialah seperti atlet dari Iran yang menang emas (AKF), UAE, Vietnam (pemenang emas Sukan SEA) dan Jepun,” ujarnya.
Selepas ini, skuad karate negara akan menjalani kem latihan 10 hari di Tunisia serta menyertai Kejohanan K1 di Dublin, Ireland dan satu lagi kem latihan Maghribi. – KOSMO! ONLINE