KERJAYA seninya masih setahun jagung, namun bintang muda Yonnyboii berjaya menempa nama dengan pantas.
Ini terbukti apabila tiga buah lagu dendangan dan ciptaannya iaitu Sakit (duet bersama Zynakal), Kelabu (duet bersama Azlan Typewriter) dan X Missing You (kolaboratif bersama Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Tuju K-Clique) berjaya tersenarai ke pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35.
Pemilik nama Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 22, itu juga baru melancarkan single terbaharunya, Boleh Bla pada September lalu.
Kini pemuda yang mesra disapa Yonny itu bakal melancarkan versi terbaharu single terdahulu berjudul Salahku.
Sejak melatari drama Budak Tebing yang ditayangkan menerusi Slot Lestary TV3 pada April lalu, Salahku ciptaan dan dendangan penyanyi Yonny mula menjadi siulan ramai.
Sehingga ke hari ini lagu tersebut masih mendapat sambutan peminat muzik Malaysia.
Video lirik rasmi Salahku yang dimuat naik sejak April lalu telah mencapai lebih 3.3 juta tontonan, manakala video muzik rasminya pula berjaya mencatat lebih enam juta tontonan sejak dilancarkan pada Ogos lalu.
Jika dihitung bersama jumlah tontonan video persembahan secara langsung dan video tidak rasmi menerusi saluran-saluran YouTube, lagu ciptaan dan dendangan Yonny itu sebenarnya sudah menjana belasan juta tontonan.
Jumlah tersebut tidak termasuk dengan jutaan kali lagu-lagunya dimainkan dalam platform penstriman muzik digital.
Bagi mengekalkan kelangsungan lagu berkenaan, Yonny kini mempertaruhkan versi terbaharu nukilan berkenaan yang diberi judul Salahku 3.0.
Lagu yang dihasilkan sejak Jun 2019 itu, mempunyai dua versi terdahulu iaitu versi demo berdurasi dua minit yang pernah dikongsikan dalam media sosial Yonny tahun lepas dan versi penuh berdurasi empat minit yang dilancarkan pada April 2020.
Menerusi Salahku 3.0, Yonny cuba mempamerkan sisi berbeza dari segi gubahan muzik serta jiwa lagu berkenaan.
Mengulas tentang versi terbaharu yang berdurasi 3:15 minit ini, Yonny turut mengubah lirik lagu bagi menampilkan kelainan dan menyuntik elemen segar.
“Dalam versi terbaharu, lagu ini bukan sahaja diberi gubahan yang lebih segar, malah liriknya juga dirombak bagi menyuntik semangat dan jiwa berbeza kepada lagu tersebut.
“Biarpun perubahannya nampak kecil, namun membawa makna yang sedikit berbeza. Saya menyerahkan kepada peminat untuk menilai apa yang cuba disampaikan menerusi versi terbaharu ini,” katanya.
Lagu terbitan Universal Music Malaysia dengan kerjasama Def Jam Malaysia kini boleh didapati menerusi platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer sejak 6 November lalu.
Video lirik Salahku 3.0 juga sudah boleh mula ditonton menerusi YouTube Universal Music Malaysia.