LONDON – Usaha Bayern Munich bagi mendapatkan khidmat penyerang berbisa Tottenham Hotspur, Harry Kane, menemui jalan buntu apabila pasukan itu menolak tawaran terakhir yang dilakukan The Bavarians.
Bayern yang terdesak untuk membawa masuk penyerang baharu ke Allianz Arena dikatakan sudah menawarkan lebih £86 juta (RM500.14 juta), namun masih belum mampu memujuk Spurs melepaskan Kane.
Difahamkan, pihak pengurusan Spurs tidak berpuas hati dengan tawaran tersebut kerana berpendapat masih ada jurang kira-kira £20 juta (RM116.34 juta) dengan tanda harga yang diletakkan ke atas pemain England itu.
Keinginan Bayern untuk mendapatkan Kane makin membuak-buak selepas menyaksikan penyerang berusia 30 tahun itu meledak empat gol ketika membantu Spurs membelasah Shakhtar Donetsk 5-1 pada aksi persahabatan kelmarin.
Walaupun tawaran tersebut dikatakan adalah yang terakhir, namun Bayern enggan mengaku kalah dan sedia untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama Spurs bagi memeterai perpindahan tersebut.
Selain itu, Bayern juga mendapat tonik tambahan apabila Kane sendiri berharap rundingan tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin kerana dia benar-benar berminat dengan peluang menyarung jersi pasukan Bundesliga itu.
Berdasarkan laporan beberapa media tempatan, Kane mahu perpindahan itu disegerakan kerana isterinya dijangka bersalin beberapa minggu lagi dan dia tidak mahu berada dalam situasi rumit.
Sekiranya Spurs terus berdegil tidak mahu melepaskan Kane pada jendela perpindahan kali ini, mereka dijangka ‘melopong’ memandangkan Kane hanya memiliki baki kontrak selama setahun dan boleh keluar secara percuma musim depan. – AGENSI