fbpx

Bapa risau anak meringkuk dalam depot tahanan kerana tiada MyKad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Tarudi (kanan) bersama Ramachandran (kiri) menunjukkan foto R Tayalan @ Mohd. Farid serta semua dokumentasi yang membuktikan dia warganegara Malaysia ketika ditemui di Pondok Al-Jaafar, Gua Tempurung hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

GOPENG – Seorang bapa runsing memikirkan nasib anak lelakinya yang terpaksa meringkuk dalam depot tahanan imigresen kerana didakwa tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

R. Rama Chandran, 54, berkata, anaknya, Tayalan atau nama Islamnya, Mohd. Farid, 26, ditahan dalam satu operasi di Ipoh pada tahun 2019.

Katanya, penahanan lelaki itu hanya diketahui selepas dimaklumkan oleh bapa angkat anaknya yang dihubungi oleh pusat tahanan berkenaan.

“Anak saya warga Malaysia, namun menghadapi kekangan membuat kad pengenalan (MyKad) ekoran sijil kelahirannya tidak lengkap.

“Dalam sijil kelahiran itu, tiada nombor kad pengenalan ibu Tayalan. Keadaan ini menyukarkan anak saya untuk membuat dokumen pengenalan diri,” katanya pada sidang akhbar di Pondok Al Jaafar di Gua Tempurung di sini hari ini.

Menurut Rama Chandran, dia berusaha membuktikan taraf kewarganegaraan anaknya itu termasuk meminta bekas isteri mengemas kini maklumat peribadi dalam sijil kelahiran anak mereka.

Jelasnya, proses angkat sumpah juga telah dilakukan bekas isterinya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya pada Jun lalu yang mana dokumen asal sijil kelahiran itu akan diperoleh pada bulan hadapan.

“Pihak JPN beri salinan sijil kelahiran untuk proses seterusnya oleh Jabatan Imigresen, namun ditolak kerana mahukan dokumen asli. Sekarang, kami tunggu JPN untuk keluarkan sijil kelahiran baharu. Harap usaha dapat membantu Tayalan bebas. Setakat ini kami dimaklumkan dia tidak membuat kesalahan lain, kecuali tiada kad pengenalan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pondok Al Jaafar, Mohamad Tarudi Bahari berkata, Mohd. Farid yang memeluk Islam sejak berusia 12 tahun datang ke Pondok Al Jaafar ketika berusia 17 tahun untuk menimba ilmu dan mempelajari kemahiran di bengkel.

“Sewaktu tangkapan dibuat dia sedang membaiki kereta di sebuah bengkel rakannya di Klebang. Sebab tiada kad pengenalan, dia ditahan dan diserahkan kepada imigresen,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI