KUALA LUMPUR – Seramai 47,728 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasangan dijangka akan terlibat mengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri, esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak 260 tempat mengundi dengan 377 saluran mengundi telah diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pusat pengundian awal.
“Sila laksanakan proses demokrasi dan tiada alasan untuk tidak menjalankan tanggungjawab untuk mengundi. Mengundi adalah satu hak yang diamanahkan kepada kita semua untuk dilaksanakan.
“Ini merupakan satu manifestasi kepada rakyat bahawa PDRM mendukung proses demokrasi dalam mengundi,” katanya menerusi rakaman video Amanah Ketua Polis Negara, hari ini.
Tambah beliau, penghargaan diberikan kepada warga PDRM yang bertugas sejak hari penamaan calon, tempoh berkempen serta pada pengudian awal yang dijadual esok sehingga pasca PRN.
“Kepada para petugas, laksanakan amanah ini dengan penuh dedikasi dan berhemah.
“Kekalkan tahap profesionalisme yang tinggi, kawal emosi ketika berdepan dengan sebarang bentuk provokasi,” ujar beliau.
Terdahulu, SPR telah menetapkan proses pengundian awal PRN akan dilaksanakan esok dan pusat pengundian mula dibuka pada 8 pagi.-KOSMO ONLINE.