fbpx

PRN: BN-PH Kelantan umum calon MB lepas cukup jumlah kerusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada tenaga pengajar Kemas selepas merasmikan Hari Potensi Kemas dan Program Desa Cerdas di Plaza IMT-GT Bukit Bunga, Tanah Merah hari ini. - Foto oleh ROSMIZAN RESDI / KOSMO!

TANAH MERAH – Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) sudah mempunyai beberapa nama calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu dapat mengambil alih pentadbiran Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa nama calon BN yang bakal menjadi Menteri Besar sudah ada, namun ia masih belum dapat diumumkan.

Menurutnya, senarai pendek beberapa nama calon Menteri Besar itu telah dikemukakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub kepadanya baru-baru ini.

“Calon MB (Menteri Besar) sudah ada, tetapi masih belum diumumkan. Kita akan umum apabila mendapat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang cukup selepas PRN.

“Senarai pendek beberapa nama telah diberikan oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Potensi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Program Desa Cerdas di Plaza Indonesia-Malaysia-Thailand Golden Triangle (IMT-GT) Bukit Bunga di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, beliau berharap rakyat Kelantan memberi peluang kepada gabungan BN-PH selepas menawarkan tawaran empat teras menerusi manifesto yang diumumkan baru-baru ini.

Menurutnya, tawaran itu adalah aku janji dan bukan hanya sekadar manifesto BN-PH kepada rakyat di Kelantan:

“Tawaran itu datang hanya sekali. Lupakan sahaja kerajaan sebelum ini yang sudah mentadbir Kelantan sejak 33 tahun lalu. Cuba bagi kami (BN-PH) sekali.

“Justeru, segala aspek dalam manifesto BN-PH diharapkan mampu membuka mata pengundi di Kelantan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI