ALOR SETAR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamuden membuat laporan polis sekiranya benar terdapat ‘perangkap’ ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Afnan pada Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) bersama MB Kedah di Sungai Petani, dekat sini pada malam tadi memaklumkan Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dinasihatkan tidak menghadiri ceramah itu kerana terdapat ‘perangkap’.
Saifuddin berkata, sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab, Afnan seharusnya segera menggunakan saluran undang-undang dan bukannya mencipta persepsi untuk menagih simpati.
“Keseluruhan perjalanan kempen di enam negeri semuanya berjalan tertib, mengikut peraturan dengan semua parti bertanding bebas menganjurkan ceramah dan sesi penerangan.
“Tak ada insiden di Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kecuali beberapa kes vandalisme melibatkan papan iklan memaparkan wajah Perdana Menteri,” katanya selepas berkempen bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris di Pasar Besar Alor Setar di sini, hari ini
Malah, kata beliau, pemantauan juga dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang masa.
“Tetapi apabila dikatakan sudah sampai separuh jalan, tetapi terpaksa balik atas faktor keselamatan, maka mereka cuma perlu tampil mengadu kepada pihak berkuasa.
“Biar pihak berkuasa jalankan tugas tetapi cipta naratif untuk bina persepsi seolah-olah sampai begitu ancaman dihadapi. Macam Afnan katakan semalam kononnya ada perangkap, maka pergilah ke mana-mana buat laporan polis dan beritahu siapa buat perangkap dan apa nak dibuat kerana hanya beliau yang ada maklumat sedangkan orang lain tak tahu mengenainya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE