PASIR PUTEH – Perikatan Nasional (PN) ketika ini dilihat sedang diulit mimpi apabila berani mendakwa gabungan tersebut mampu menawan enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hasrat yang diluahkan oleh pemimpin PN itu hanya bahan penyedap sepanjang kempen pilihan raya yang sedang berlangsung ketika ini.
Menurutnya, tiada asas yang membuktikan PN mampu berbuat demikian kerana sambutan rakyat di Kelantan dan Terengganu terhadap parti-parti komponen gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) semakin luar biasa ketika ini.
“Dakwaan itu sekadar pemanis bibir dan penyedap hati yang kini menjadi peluru perang saraf mereka. Mereka (PN) mendakwa kemenangan dalam PRN nanti bakal merubah struktur pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
“Sebenarnya, BN-PH ada kemungkinan besar untuk menawan tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah selain mengekalkan kuasa di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Insya-Allah, BN-PH akan dapat menguasai enam negeri. Dakwaan PN itu hanya untuk mengelirukan rakyat dan tidak tepat sama sekali,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Program Jamuan Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Merbau, Selising di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang memberitahu, prestasi sokongan rakyat Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan ketika ini amat baik.
Menurutnya, bagi Kelantan, Terengganu dan Kedah pula, prestasi sokongan rakyat kepada PH dilihat merosot, namun majoritinya telah sedar untuk mengubah kepimpinan sedia ada demi kesejahteraan dan kebajikan masyarakat.
“Banyak rungutan khususnya masalah bekalan air, rumah, jalan dan sebagainya yang gagal diselesaikan oleh kerajaan yang terdahulu,” katanya. – KOSMO! ONLINE