NILAI – Sindiket pengedaran dadah antarabangsa dikesan mengikrarkan barang dagangan sebagai suplemen kesihatan dengan memasukkan dadah jenis kokain ke dalam kapsul melibatkan rampasan bernilai RM17.6 juta.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, taktik itu dikesan pertama kali digunakan sindiket, namun berjaya dibongkar Cawangan Narkotik, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi rampasan kokain pada 1 Ogos lalu.
“Sindiket tersebut ditumpaskan anggota Cawangan Narkotik menerusi serbuan pada pukul 8 malam, 1 Ogos lalu. Pihak kami menyita empat buah kotak di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor.
“Pemeriksaan mendapati kesemua kotak berisi botol kaca mengandungi kapsul disyaki kokain seberat 88 kilogram bernilai RM17.6 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Cawangan Narkotik JKDM di sini hari ini.
Menurut Zazuli, dadah itu dimasukkan dalam botol kaca dan dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara di Eropah Barat.
“Botol kaca tersebut mengandungi 995 kapsul berwarna putih dipercayai berisi kokain. Turut ditemui di dalam kotak bersama botol kaca adalah empat cakera brek yang diletakkan di bahagian tengah.
“Taktik bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan cara mengikrarkan dagangan sebagai suplemen sedangkan di dalamnya ada botol kaca berisi dadah dan alat ganti kenderaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE