fbpx

Wanita belasah bekas suami sebab hutang RM87,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

AMPANG JAYA – Seorang wanita ditahan selepas memukul bekas suaminya gara-gara berhutang hampir RM87,000 di sebuah kediaman di Bukit Indah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, ketika kejadian, mangsa seorang lelaki tempatan sedang mengemas rumah sewanya sebelum diserahkan kepada pemilik asal.

Katanya, pada pukul 6.55 petang, mangsa didatangi bekas isterinya yang berusia 38 tahun ke rumah tersebut sebelum memarahi mangsa berhubung hutang sejumlah RM87,000.

“Mangsa yang bekerja sebagai peniaga itu telah ditumbuk pada bibir dan diketuk menggunakan hulu pengikis simen di kepala serta ditendang pada perut oleh wanita terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ekoran kejadian itu, suspek wanita tempatan yang bekerja sebagai akauntan telah ditahan sekitar pukul 9.45 malam, di sebuah kawasan daerah ini, pada hari yang sama.

“Siasatan mendapati, pasangan tersebut baru sahaja bercerai 11 Julai lalu serta mempunyai seorang anak perempuan berusia satu tahun tujuh bulan.

“Permohonan reman akan dipohon di Mahkamah Majistret Ampang pada pagi ini,” ulas beliau.

Tambah Mohd. Azam, pihak polis menjalankan siasatan dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

“Jika disabitkan boleh diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai satu tahun atau dengan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI