PETALING JAYA – Pelakon Ika Nabella terpaksa berputih mata selepas ditipu seorang wanita bergelar pembeli peribadi (personal shopper) sehingga membabitkan kerugian berjumlah RM7,600.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, difahamkan pelakon berusia 34 tahun itu telah berurusan dengan individu terbabit untuk membeli sebuah beg tangan berjenama Bottega Veneta dan telah melakukan transaksi pada 2 Ogos lalu.
“Ada sesiapa pernah berurusan dengan wanita ini? Laporan polis telah dibuat semalam dan saya sedang berusaha menjejaki si bodoh ini.
“Suka hati scam (tipu) duit orang ya Siti Aishah Remlee. Selepas itu diam,” kongsi Ika.
Menurut pelakon yang pernah membintangi drama Bahagia Bukan Bidaan itu lagi, dia hanya menyedari telah ditipu selepas hantaran WhatsApp yang dikirimkan tidak dibalas, sementara akaun Instagram yang sebelum ini menjual barangan ‘pre-loved’ dipercayai milik individu terbabit tidak lagi wujud.
“Bila saya mesej (DM), pandai pula tutup Instagram. Pengikut bukan main ramai, rupa-rupanya penipu.
“Alasan saya beli dengan ‘mangkuk ayon’ ini sebab dia ada stok beg yang saya mahukan itu dan kami berurusan pada saat akhir. Perkongsian ini bertujuan untuk kesedaran supaya tiada pengikut saya yang kena tipu,” tulis Ika.
Dalam ruangan komen, perkongsian Ika turut menarik perhatian rakan artis yang meninggalkan nasihat supaya lebih berhati-hati agar tidak terpedaya dengan penipuan.
Malah, pelakon Faezah Elai turut memberitahu mengenali individu tersebut dan pernah berkongsi tentang penipuan yang dilakukan.
“Dia memang scammer! Aku pernah kongsi pasal dia dulu,” ujar Faezah.
“Jangan sesekali beli dengan pembeli peribadi yang tidak dikenali. Lain kali hati-hati okay,” ujar pelakon Ruhainies.
“Hati-hati sayang. Zaman sekarang memang ramai penipu,” kata pelakon Datin Elvina Mohamad. – KOSMO! ONLINE