VOKALIS The 1975, Matty Healy seakan-akan belum meerima kenyataan apabila mengungkit kontroversi yang dicetuskan mereka sendiri ketika beraksi di Malaysia pada Festival Lollapalooza 2023 di Chicago, Amerika Syarikat, kelmarin.
Pada konsert tersebut, penyanyi berusia 34 tahun itu kononnya mahu berkongsi panduan melancong namun belum menghabiskan ayat, anggota kumpulannya terus memainkan muzik intro It’s Not Living If It’s Not With You.
“Anda mahu tip melancong? Jangan pergi ke,” katanya yang tidak menyambung destinasi dimaksudkan.
Namun rata-rata yang mengikuti perkembangan band asal London, United Kingdom itu tahu Healy merujuk kepada insiden di Festival Good Vibes, di Sepang, bulan lalu.
Malah pelbagai portal antarabangsa turut menjadikan ‘gurauan’ bekas kekasih Taylor Swift yang seperti tidak puas hati dengan ketegasan kerajaan Malaysia itu sebagai tajuk utama.
Pada acara hari kedua di Grand Park yang turut disertai ramai penghibur lain, Healy menghiburkan penonton sambil menghisap rokok selain sesekali meneguk minuman di bekas tin yang sedia di sisinya.
Di tengah persembahan, dia juga meluahkan frasa hidup tidak bermakna tanpa gurauan, selain turun pentas untuk memeluk idolanya, Tom DeLonge daripada kumpulan Blink-182 yang berada dicelah ribuan penonton.
Terdahulu, akibat tindakan biadab The 1975 melanggar garis panduan persembahan termasuk mencium teman sejenis, minum arak di pentas dan membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), aksi mereka dalam Festival Good Vibes dihentikan.
Malah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut mengarahkan penganjuran festival yang masih berbaki dua hari tersebut dibatalkan serta-merta, selain band itu diharamkan mengadakan konsert di sini.
Kumpulan yang dibarisi empat anggota itu juga bakal berdepan tindakan undang-undang kesan tindakan mereka terutama membabitkan kerugian penganjur serta pihak lain. – KOS