fbpx

Sanusi dinasihat tidak hadir ceramah mega kerana ada ‘perangkap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Afnan Hamimi membacakan nota makluman tentang ketidakhadiran Muhammad Sanusi pada Ceramah Mega PN bersama MB Kedah di padang awam Taman Ria, Sungai Petani malam tadi.

SUNGAI PETANI – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor didakwa dinasihatkan untuk tidak menghadiri Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) bersama MB Kedah yang berlangsung di padang awam Taman Ria, di sini malam tadi.

Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden menerima satu kertas memaklumkan tentang ketidakhadiran Muhammad Sanusi ketika berucap pada ceramah tersebut.

Afnan kemudian membacakan kertas itu dan memaklumkan kepada ribuan penyokong yang hadir bahawa Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) terbabit tidak dapat hadir pada ceramah mega berkenaan.

“Saya nak baca kertas ini, kertas ini tulis berita yang menyedihkan. Petang tadi MB bermesyuarat di Kuala Lumpur, mesyuarat penting. Dalam mesyuarat tersebut bincang perkara-perkara besar.

“Daripada itu, dinasihatkan beliau tidak meneruskan ceramah beliau pada malam ini kerana ada perangkap yang sedang dipasang oleh musuh dan perangkap itu mengkehendaki MB kita masuk ke dalam itu dan pegang, buat sesuatu yang kita tidak jangka,” katanya ketika berucap pada ceramah tersebut malam tadi.

Ribuan penyokong kecewa apabila Muhammad Sanusi tidak dapat hadir pada Ceramah Mega PN bersama MB Kedah di padang awam Taman Ria, Sungai Petani malam tadi.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas meminta semua penyokong agar bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku.

“Saya dah sebut tadi, sehari dua ini akan berlaku macam-macam benda yang dahsyat dan tuan-tuan kena bersedia dari sudut menjaga kubu.

“Kedua kita juga kena ingat kemenangan ini Tuhan bagi, jangan tinggal solat hajat doakan keselamatan MB kita, calon-calon dan semua orang sebab pergantungan dengan Allah akan menentukan kemenangan pada 12 Ogos ini,” ujarnya.

Tambahnya, PN mempunyai kekuatan sokongan daripada orang ramai dan perjuangan akan diteruskan sehingga hari mengundi itu nanti.

“Oleh kerana MB tak dapat hadir, maka kita tunggu kemunculan dia dan perjuangan dia akan diteruskan. Insha-Allah kalau tak jumpa malam ini, kita akan sambut dan jumpa dia pada 12 Ogos nanti.

“Kita akan rai kemenangan dan akan kembali tabal (Sanusi) sebagai MB setelah mencapai kemenangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI