fbpx

USIM ungguli kuiz pergigian online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURUL HANAN (tengah) bersama dua ahli kumpulannya yang berjaya meraih johan pada pertandingan 3rd International Dental e-Quiz 2023.

FAKULTI Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melakar sejarah apabila berjaya merangkul tempat pertama dan keempat pada pertandingan 3rd International Dental e-Quiz 2023.

Kuiz dalam talian tersebut dianjurkan oleh International University Malaysia (IIUM) dengan kerjasama Universitas Gadjah Mada, Indonesia baru-baru ini.

Pelajar tahun akhir program pembedahan pergigian, Nurul Hanan Mazlan selaku ketua kumpulan berkata, dia bersyukur dan gembira kerana penyertaan tahun ketiga USIM membuahkan hasil.

“Pertandingan ini diadakan secara dalam talian bermula sejak tahun 2020 melalui aplikasi Zoom Meeting dan Kahoot Games.

“Kuiz terbahagi kepada beberapa sesi dan soalan berkisarkan tentang pemahaman asas pergigian, klinikal pergigian dan juga penyelesaian masalah,” katanya kepada iGen baru-baru ini.

Tambah Nurul Hanan, kuiz itu agak mencabar dan menguji minda kerana para peserta didedahkan kepada situasi sebenar permasalahan pergigian di luar bilik kuliah.

“Sebagai pelajar tahun akhir pergigian, jadual harian kami agak padat, di mana kami mempunyai kelas seawal pukul 8 pagi hingga 5 petang.

“Ada juga antara kami yang terpaksa melakukan overtime (lebih masa) di makmal hingga pukul 7 malam untuk menyiapkan kes-kes pesakit.

“Jadi, kami menghadapi sedikit kesukaran untuk mencari masa bagi mengulang kaji dan belajar semula mata pelajaran bagi mengharungi pertandingan ini,” katanya.

Ujarnya, persediaan yang mereka lakukan sebelum pertandingan bermula adalah dengan membahagikan topik kepada setiap ahli kumpulan.

Pertandingan 3rd International Dental e-Quiz 2023 disertai oleh 28 kumpulan daripada 14 buah universiti dari dalam dan luar negara.

Ujarnya, setiap ahli perlu mengulang kaji lapan subjek merangkumi topik dari tahun tiga hingga lima.

Tambah Nurul Hannan, dia menzahirkan rasa seronok menyertai kuiz tersebut kerana dapat berkenalan dengan pelajar dari luar negara.

Dia juga mendapat pengalaman dan ilmu baharu serta membawa nama USIM di atas kemenangan tersebut.

“Saya berharap kemenangan ini dapat menjadi titik tolak untuk terus maju jaya pada masa hadapan,” katanya.

Pada masa sama, kejayaan tersebut diharap dapat memberi galakan kepada pelajar lain untuk mengambil peluang menyertai pertandingan lain pada masa akan datang.

Terdahulu, USIM menghantar tiga kumpulan pelajar iaitu Kumpulan A yang menjuarai pertandingan itu.

Ia diketuai oleh Nurul Hanan bersama dua ahli lain iaitu Aimi Aisyah Mohd. Hata dan Ummu Nusailah Md. Radzi.

Manakala, Kumpulan B diketuai oleh Raid Hamizan Mohd. Zulkifle yang berjaya mendapat tempat keempat.

Sebanyak 28 kumpulan daripada 14 buah universiti dari dalam dan luar negara telah menyertai pertandingan tersebut.

Antaranya Universiti Malaya, Sultan Agung Islamic University, Syiah Kuala University, Lincoln University College, University of Dental Medicine Mandalay, MAHSA Universiti dan Universitas Sumatera Utara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI