BANDAR RAYA NEW YORK – Para penyelidik memberi amaran mengenai ancaman perang nuklear yang diramal tercetus tahun depan selepas menilai perkembangan pelbagai konflik membimbangkan di seluruh dunia, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Lebih 100 jurnal perubatan kini mengesahkan tempoh masa konflik itu yang disifatkan membawa kepada ‘pengakhiran dunia’.
Ia digambarkan sebagai semakin berkembang dan serius disebabkan permusuhan antara Russia dan Ukraine.
Menurut salah sebuah jurnal, stok senjata nuklear Russia telah mencetuskan kebimbangan para saintis yang percaya perang nuklear sekiranya tercetus, akan menyebabkan seramai 200 juta orang terbunuh.
Ia seterusnya akan mengancam kelangsungan hidup umat manusia, dengan penggunaan senjata nuklear meletakkan berbilion-bilion nyawa penduduk dalam risiko akibat kesan konflik tersebut.
“Perang nuklear berskala besar antara Amerika Syarikat (AS) dan Russia boleh membunuh 200 juta orang atau lebih dalam tempoh terdekat.
“Ia seterusnya berpotensi menyebabkan ‘musim sejuk nuklear’ global yang seterusnya boleh membunuh lima hingga enam bilion orang, sekali gus mengancam kelangsungan hidup manusia,” kata salah satu jurnal yang memberi amaran tersebut.
Tambah laporan jurnal lain, sebarang penggunaan senjata nuklear akan menjadi malapetaka bagi manusia.
“Malah perang nuklear berskala kecil yang melibatkan hanya 250 daripada 13,000 senjata nuklear di dunia sekali pun boleh membunuh seramai 120 juta orang secara langsung.
“Ia seterusnya akan menyebabkan gangguan iklim global dengan membawa kepada krisis kebuluran, selain berisiko menjejaskan dua bilion orang,” katanya.
Laporan jurnal seterusnya selain itu turut memberi amaran mengenai keutamaan kesihatan awam yang mendesak, bagi tujuan menghapuskan senjata nuklear.
Menurutnya, menghapuskan senjata nuklear adalah langkah yang perlu diambil kerana ia merupakan punca utama masalah tersebut meskipun kebarangkalian pilihan itu (menghapuskan senjata nuklear) dilaksanakan adalah sukar diramal.
“Bahaya senjata nuklear adalah besar dan semakin meningkat. Negara-negara yang mempunyainya mesti menghapuskan senjata nuklear masing-masing sebelum ia menghapuskan manusia,” katanya. – AGENSI