fbpx

Remaja OKU terima sumbangan kerajaan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Arif Ferdaus menerima sumbangan bantuan pembelian kaki palsu yang disampaikan Siti Kamelah Bee (dua dari kanan) sambil diperhatikan ibunya, Zetty Ferdaus dan Mohd. Hafe Mubin (kiri) .

BATU GAJAH – Wan Arif Ferdaus Wan Affandy, 16, remaja kelainan upaya (OKU) yang kisah cekalnya membantu ibu di gerai bagi menampung kos rawatan kakinya yang dipotong sejak 2016 hari ini menerima sumbangan dari kerajaan negeri Perak bagi menampung kos pembelian kaki palsu baharu.

Sumbangan berjumlah RM12,250 itu disumbangkan kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).

Sumbangan diserahkan Pengarah Strategik Komunikasi Korporat MB Inc, Siti Kamesah Bee Mohd. Hashim kepada Wan Arif di kediamannya di Kampung Sentang di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Abdul Hafez Mubin Mohd Salleh.

Siti Kamesah Bee berkata, sumbangan pembelian kaki palsu baharu itu diharapkan akan menaikkan lagi semangat dan kegigihan Wan Arif untuk mencapai apa sahaja yang diimpikannya.

“Kami juga mendoakan supaya Wan Arif dapat meneruskan cita-cita dan impiannya untuk menjadi atlet paralimpik negeri sebagaimana yang dihajati.

“Kami sangat berbesar hati menyampaikan sumbangan ini dan ia akan dikreditkan terus kepada syarikat penyedia kaki palsu berkenaan, Bioapps Sdn. Bhd.,” katanya selepas menyampaikan sumbangan.

Siti Kamesah Bee berkata, kaki palsu yang lebih tahan lasak dan sesuai digunakan untuk kegiatan sukan itu dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

Sementara itu, Wan Arif berkata dia sangat berterima kasih kepada semua pihak khususnya Pejabat Menteri Besar dan MB Inc yang banyak membantu dalam memudahkan urusannya mendapatkan kaki palsu baharu yang lebih tahan lasak.

“Saya amat berharap, kaki palsu yang baharu nanti saya akan membolehkan saya melakukan lebih banyak aktiviti lasak dan mencabar serta dapat menikmati kehidupan normal dengan lebih baik.

“Saya juga sangat berharap supaya cita-cita saya untuk mewakili Perak dalam sukan paralimpik khususnya dalam sukan renang dan sukan lain yang saya minati,” katanya.

Kosmo! pada 25 Oktober lalu melaporkan, kisah Wan Arif yang pada setiap petang, sebaik habis waktu persekolahan bermula jam 5.30 petang hingga jam 9 malam, membantu ibunya, Zetty Ferdaus Ramli, 37, meniaga di kedai mereka di Kampung Sentang sejak setahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI