KUANTAN – Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas bot dinaikinya bersama dua lagi nelayan karam di kedudukan 26.8 batu nautika Perairan Kuala Pahang di sini dua hari lalu.
Mangsa yang hilang ialah tekong bot iaitu Mat Riffin Awang Kechik, 66.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, berdasarkan maklumat awal, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, bot dinaiki mangsa terbalik selepas dipukul ombak.
“Situasi itu menyaksikan dua mangsa yang terselamat sempat berpaut pada tong minyak dan hanyut kira-kira 14 batu nautika dari lokasi kejadian sebelum diselamatkan oleh bot nelayan tempatan pada pukul 9 pagi.
“Mangsa ketika itu berada di dalam anjung bot dan tidak pasti sama ada turut terjun ke laut,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya ketiga-tiga mangsa tidak memakai jaket keselamatan dan bot nelayan berkenaan telah karam sepenuhnya.
Katanya operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada pukul 3.10 petang semalam selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian dari Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Pekan.
“Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang beroperasi di sekitar lokasi berdekatan terus diatur gerak ke titik koordinat aduan bagi melaksanakan operasi pencarian awal mangsa.
“Operasi pencarian diteruskan dengan keluasan sektor pencarian hari kedua kira-kira 22.95 batu nautika persegi dengan membuat pemantauan di sekitar lokasi bot karam dan turut dibantu oleh bot nelayan tempatan,”ujarnya.