fbpx

Buntu sara keluarga selepas kaki dipotong akibat diabetes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MANSON dibantu oleh anaknya, Muhamad Danish Iqmal di rumahnya di Taman Bukit Piatu Bentong semalam.

BENTONG – Seorang bekas tentera buntu untuk menyara keluarga termasuk tiga anak yang masih bersekolah selepas kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong akibat penyakit kencing manis kritikal.

Keadaan itu menyebabkan Manson Ayob, 66, yang sebelum ini bekerja kampung tidak dapat keluar untuk melakukan pelbagai kerja bagi menyara keluarga.

Lebih mengharukan, dia telah diisytiharkan muflis selepas individu yang dijamin untuk mendapatkan pinjaman bagi membeli kereta beberapa tahun lalu gagal membayarnya kepada sebuah ­institusi kewangan.

Manson yang merupakan ve­teran tentera tidak berpencen berkata, akibat komplikasi ken­cing manis, kaki kirinya dipotong pada 2014, sebelum kaki kanan pula dipotong pada 30 Jun lalu.

“Sebelum kaki kanan dipotong saya sudah membuang dua jari kaki, namun kaki saya membengkak selama empat bulan dan akhirnya terpaksa dipotong juga.

“Saya sedih memikirkan bagaimana hendak bekerja, tetapi saya tetap reda dengan ketentuan Allah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Piatu di sini semalam.

Menurut Manson, pada masa ini urusan hariannya bergantung kepada anak dan isterinya, yang mana pergerakannya hanya menggunakan kerusi roda yang disumbangkan pegawai khas Menteri Besar, Datuk Jasvir ­Singh Ram Singh.

Katanya, pada masa ini dia masih buntu untuk mencari perbelanjaan pengurusan dirinya, termasuk membeli barangan perubatan, lampin pakai buang dan juga tambang teksi untuk rawatan di hospital.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada masa ini dia hanya me­nerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Selain itu, iste­rinya membuat dan menjual kuih bagi menambah wang belanja.

Manson yang belum pernah me­nerima bantuan daripada Pusat Zakat berkata, dia sedih apabila memikirkan perbelanjaan sekolah tiga anak­nya iaitu dua di sekolah mene­ngah dan seorang lagi di sekolah kebangsaan.

“Kalau dahulu saya mampu keluar bekerja dan menanam sayur di pinggir hutan belakang rumah, tetapi kini saya sudah tidak lagi berbuat apa-apa.

“Saya sedih memikirkan anak-anak tidak dapat membawa duit belanja ke sekolah,” katanya.

Sesiapa yang ingin membantu boleh menghubung Manson di talian 011-21956576 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), Manson Ayob, 0670029000159240.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI