PETALING JAYA – Mengundi untuk menegakkan kerajaan dan melantik umat Islam yang berkuasa memimpin adalah wajib hukumnya.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kewajipan itu termasuk dalam perkara yang akan dihisab pada hari kiamat kelak.
“Apabila umat Islam berada dalam kedudukan yang menyebabkan mereka terpaksa bersaing dengan kaum lain yang nyata mencabar kuasa politik umat Islam.
“Maka mengundi adalah jihad fardu ‘ain yang wajib ditunaikan oleh setiap muslim,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Abdul Hadi berkata, umat Islam diwajibkan mengundi dengan menggunakan pensel bukan berperang dengan senjata, kecuali apabila musuh datang menakluk dengan kekerasan.
“Kecuaian dalam melaksanakan kewajipan mengundi boleh menyebabkan hilangnya kuasa politik umat Islam dan menjadikan umat Islam menempah kehinaan di dunia dan akhirat,” – KOSMO! ONLINE