fbpx

Tiga pengikut Hizbut Tahrir dipanggil beri keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tosrin (tengah) memaklumkan tiga pengikut HTM Johor sudah dipanggil untuk beri keterangan.

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah mengeluarkan dua surat perintah untuk hadir memberi keterangan kepada tiga pengikut gerakan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di negeri ini termasuk ketuanya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, surat perintah pertama telah diserahkan di ibu pejabat HTM, yang berada di luar Johor, kira-kira dua minggu lalu manakala yang kedua awal minggu ini.

Menurutnya, pihaknya bagaimanapun masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada ketiga-tiga individu terbabit.

“Surat berkenaan telah diserahkan kepada ibu pejabat HTM, namun sehingga kini tiada jawapan diterima daripada gerakan itu. Mereka dipanggil kerana melanggar perintah pihak berkuasa dalam urusan agama.

“Oleh yang demikian, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan bekerjasama dengan Jabatan Agama negeri terbabit untuk mengambil tindakan lanjut kepada ketiga-tiga individu berkenaan,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Pusat Islam Iskandar,di sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Noh Gadut.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan pihaknya telah mengenalpasti 45 individu yang terlibat dengan gerakan itu di negeri ini termasuk ketua mereka.

Dalam masa sama, Tosrin turut memberi jaminan pihaknya tidak akan berkompromi dalam memastikan gerakan itu tidak melebarkan pengaruh mereka di negeri ini.

“Kita akan turut bekerjasama dengan polis untuk terus membanteras gerakan ini bagi memastikan mereka tidak berkembang lagi pada masa depan.

“Bagi tujuan itu, JAINJ mengadakan pertemuan dengan polis seminggu sekali untuk berbincang langkah yang boleh diambil bagi berhadapan dengan gerakan berkenaan,” ujarnya lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI