fbpx

PRN: BN akan jadi sebahagian kerajaan Pulau Pinang baharu – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid hadir di ceramah Jelajah Perpaduan Madani Pulau Pinang di Kampung Melayu, malam tadi. Gambar oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

GEORGE TOWN – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Barisan Nasional (BN) akan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang baharu di Pulau Pinang menerusi sokongan hebat yang diberikan pengundi di negeri ini.

Ahmad Zahid berkata, kombinasi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah berlaku sebelum ini dan gabungan BN-PH menjadi bukti bahawa Kerajaan Perpaduan berlaku adil kepada semua bangsa tidak kira Melayu, Cina atau India.

”Kalau ini sambutan yang diberikan (pengundi) saya yakin di bawah Chow Kon Yeow sekali lagi Pulau Pinang akan berada di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

”Biarpun telah 15 tahun UMNO dan BN tidak menjadi kerajaan (di Pulau Pinang), atas restu Perdana Menteri dan Kon Yeow, saya yakin BN akan menjadi sebahagian kerajaan Pulau Pinang yang baharu,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Perpaduan Madani di Kampung Melayu di sini hari ini.

Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Hadir sama, Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof, Ahli Jawatankuasa Amanah merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat, Mohd. Sany Hamzan dan Ahli Jawatankuasa DAP negeri yang juga Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal Singh.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan kesemua Pengerusi BN di setiap Parlimen dan DUN memberikan sokongan kepada calon-calon dari PH yang bertanding di kerusi DUN yang tidak ditandingi BN.

”Sebelum capai matlamat ini (menjadi sebahagian kerajaan di Pulau Pinang), saya telah arahkan Pengerusi BN di setiap Parlimen dan DUN agar jentera kita berikan sokongan yang sama kepada calon PH.

”Ini kerana jentera PH telah memberikan komitmen mereka dan mereka juga akan bekerja keras untuk menangkan enam calon BN di negeri ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI