PETALING JAYA -Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan laporan berita yang dibuat oleh media tempatan mendakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditahan atau dipanggil rakam keterangan hari ini.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A Skandaguru berkata, pihaknya merujuk berita berkenaan bertajuk ‘Sanusi ditahan polis sekali lagi?’ yang tular di media sosial, malam ini.
“Tiada pihak dari Bukit Aman, peringkat Kontinjen Kedah atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kedah yang melakukan tindakan seperti dilaporkan media berkenaan.
“PDRM meminta pihak media berkenaan yang melaporkan berita palsu itu membuat permohonan maaf serta menarik balik laporan disiarkan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegasnya lagi, tindakan mengeluarkan berita tidak sahih sedemikian boleh mendatangkan rasa panik kepada masyarakat apatah lagi dalam senario kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang berlangsung.
“Laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan dimulakan ke atas penyebaran berita palsu terbabit,” ujarnya.
Terdahulu media terbabit melaporkan Muhammad Sanusi ditahan sekali lagi, pada petang tadi.
Ia susulan rakaman video sebuah program di Padang Serai di mana seorang lelaki yang dipercayai ahli Pas memaklumkan, pemimpin itu tidak dapat menghadirkan diri atas faktor keselamatan.
“Panglima perang kita (Sanusi) tak dapat hadir petang ini kerana isu keselamatan. Beliau sebenarnya telah datang (lokasi program) separuh jalan tetapi disebabkan isu serius maka beliau tidak dapat hadir bersama kita namun beliau janji untuk hadir pada waktu lain.
“Insya-Allah walaupun panglima perang kita tak dapat hadir kita tetap menyokong PN, bila dia (Sanusi) umum tarikh yang baru (hadir semula) semua akan datang ramai-ramai,” ujar individu terbabit ucapan menerusi video itu. -KOSMON ONLINE.