fbpx

PRN: Ujian pertama PH-BN bentuk Kerajaan Madani di P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) ketika Majlis Penyerahan bot pelancong (catamaran cruise) sempena Hari Terbuka Agropelancongan di Jeti Pengkalan Machang, Butterworth, hari ini.

SEBERANG PERAI – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang disifatkan sebagai ujian pertama buat parti gabungan itu dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ujian yang merujuk kepada keserasian dalam pembentukan Kerajaan Madani di bawah pakatan yang sama telahpun diterjemahkan di peringkat nasional dan perlu diteruskan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Keserasian ini sangat penting kerana ini adalah ujian pertama (Pulau Pinang) selepas lapan bulan kita membentuk Kerajaan Madani, Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.

“Ini adalah ujian sebelum pembentukan secara rasmi Kerajaan Madani di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Hari Terbuka Agropelancongan anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Jeti Pengkalan Machang dekat Sungai Dua di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keserasian yang dimaksudkan itu bukan hanya dalam kalangan pemimpin di peringkat nasional dan kawasan Parlimen tetapi di peringkat DUN serta Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Ini merupakan acuan yang telah diterapkan oleh kepimpinan BN dan PH dalam beberapa Mesyuarat Penyelarasan Majlis Kepimpinan Kerajaan Perpaduan dan saya berterima kasih kerana ianya turut diterjemahkan di peringkat akar umbi,” katanya.

Katanya lagi, gambaran keserasian tersebut begitu berbeza dengan apa yang diterjemahkan oleh blok Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan tiada keserasian kimia di antara parti komponennya.

“Berbeda dengan PN, mereka ada Pas, ada Bersatu tetapi pemimpin utama Presiden Parti Gerakan (Datuk Dr Dominic Lau) telah tidak dibenarkan (terlibat) dalam majlis kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) anjuran PN.

“Ini memberikan gambaran bahawa tidak ada keserasian dalam kalangan mereka, tidak terdapat penyatuan jentera malah pada hemat saya Gerakan harus sedar bahawa mereka sebenarnya menjadi tunggangan ataupun Gerakan hanya menunggang PN.

“Ini harus diketahui bahawa apabila chemistry (keserasian) itu telah wujud sekian lama dalam kalangan kami (BN-PH) ertinya ia bukan artificial (dibuat-buat) ianya adalah sesuatu authentic (benar) atau genuine (tulus) yang dapat kita laksanakan (kerjasama),” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyerahkan dua bot pelancong kepada Koperasi Nelayan Sungai Pengkalan Machang Seberang Perai Berhad dan Koperasi Nelayan Sungai Korok/Air Itam Seberang Perai Berhad bagi tujuan mempromosi agropelancongan masyarakat luar bandar. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI