fbpx

Dua bot nelayan asing diusir keluar APMM Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua bot nelayan Indonesia yang memasuki perairan negara diusir APMM melalui KM Rawa dan pesawat udara Maritim AW139 semalam.

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak sekali lagi melakukan pengusiran ke atas dua bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan 33 batu nautika barat laut Pulau Jarak semalam.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman, berkata, dua bot tersebut dikesan oleh Kapal Maritim (KM) Rawa yang sedang melaksanakan Op Benteng di perairan negeri Perak sekitar pukul 11 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati satu bot pukat jerut yang dikendalikan 20 kru termasuk tekong serta satu bot peranti dengan lima kru yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

“Kesemua kru dan tekong merupakan warga Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, KM Rawa telah memberikan amaran kepada kedua-dua bot tersebut kerana berada di dalam perairan Malaysia dan mengarahkan berhenti melakukan aktiviti serta keluar daripada perairan Perak dengan kadar segera.

Menurutnya, pengusiran itu turut dibantu oleh pesawat udara Maritim AW139 yang juga dalam pengawasan udara Op Benteng di perairan Selat Melaka.

Tegasnya lagi, kedua-dua bot nelayan Indonesia itu diusir keluar oleh KM Rawa dan pesawat AW139 sehingga ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

“Ini adalah bot nelayan Indonesia yang kelima dan keenam menceroboh perairan Perak dan diusir keluar sejak 31 Oktober lalu,” katanya.

Menurut Shahrizan, pengusiran terhadap nelayan asing itu merupakan tindakan semasa dalam mencegah dan mengekang penularan Covid-19 khususnya melalui kes import yang dibawa oleh warga asing.

Katanya, APMM akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng Laut dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan.

Beliau meminta orang awam dan komuniti maritim bekerjasama membanteras aktiviti jenayah dan kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat yang membabitkan tekong, ejen serta tali barut ke talian NTF 011- 6251 1123 atau talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak 05-683 8737. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI