BANGKOK – Seorang lelaki diserang lebih 10 ekor monyet selepas dia membuang air kecil di tepi sebatang jalan di wilayah Ranong, selatan Thailand, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Ketika diserang, Manee Chitdutsadee, 44, cuba melawan, namun dia akhirnya terjatuh dari tebing curam pada ketinggian 50 meter.
Seorang pemandu yang menyaksikan kejadian itu bergegas melaporkan serangan kepada polis.
Polis kemudian meminta bantuan pasukan penyelamat untuk menyelamatkan Manee yang mengalami cedera parah akibat terjatuh dari tebing berbahaya itu.
Salah seorang anggota penyelamat, Pithak Jaidee berkata, Manee masih dirawat di hospital namun mampu mengimbas kembali bagaimana kejadian itu berlaku.
Kata Pithak, Manee menggunakan jalan itu setiap hari untuk ke tempat kerja, namun belum pernah diserang monyet sebelum ini.
Pada hari kejadian, Manee berehat di tepi jalan selepas membuang air kecil. Dia terkejut apabila seekor monyet muncul entah dari mana dan menyerangnya.
Ketika cuba mempertahankan diri, dia terjatuh ke bawah tebing di mana lebih banyak monyet dari kumpulan itu menyerangnya tanpa henti.
Dia bernasib baik apabila seorang pemandu yang menyaksikan kejadian itu berusaha menakutkan monyet tersebut dengan melempar batu. – Agensi