MERSING – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli turun menyaksikan sukan rakyat ketika konvoi Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 singgah ke destinasi terakhir pada hari pertama di Kampung Stay, Teluk Buih di sini hari ini.
Kebarangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah.
Tuanku Sultan Johor meluangkan masa kira-kira 30 minit menyaksikan komuniti nelayan Kampung Stay melakukan aktiviti sukan lawan bantal dan panjat tiang licin.
Terdahulu, Tunku Idris berkenan menyaksikan kerja-kerja penanaman pokok bakau dan mencari lokan.
Tunku Idris kemudiannya menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Sultan Ibrahim, Yayasan Raja Zarith Sofiah, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Johor kepada kepada 25 penerima terdiri daripada ibu tunggal, keluarga asnaf serta fakir miskin sekitar daerah Mersing.
Dalam pada itu, seorang penggali kubur, Mohd. Sahar Wahab, 59, terharu apabila menjadi antara yang terpilih menerima sumbangan tersebut.
“Ini kali pertama saya terima sumbangan daripada keluarga diraja Johor, terima kasih Tuanku Sultan Johor. Kembara yang dianjurkan ini merupakan acara yang dapat mengeratkan silaturahim antara keluarga diraja Johor dengan rakyat jelata.
“Saya juga teruja apabila dapat bertemu mata dan bersalam dengan Tunku Temenggong Johor,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, penantian hampir empat tahun keluarga seorang penyelia syarikat perkapalan di Singapura merasai kemeriahan KMJ ternyata berbaloi apabila dapat menyaksikan sendiri rombongan keluarga diraja Johor.
Ismail Mohamad dan isterinya, Ungku Rasidah Ungku Mohamed serta empat anaknya yang berusia 7 sehingga 19 tahun sanggup meredah perjalanan kira-kira 99 kilometer dari Ulu Tiram Johor ke Kampung Stay, Teluk Buih di sini.
“Kalau sebelum ini memang kami pernah turut serta merasai dan menyaksikan konvoi KMJ. Tetapi sejak pandemik Covid-19, kami menunggu KMJ diadakan balik. Kami dari Ulu Tiram, lokasi pertama rombongan singgah di Kulim Eco-Trail Retrait (KETR), Kampung Ayer Putih pun kami pergi tengok,” katanya.
Sultan Ibrahim serta kerabat diraja Johor meninggalkan lokasi terakhir persinggahan KMJ 2023 edisi ke-23 untuk ke Istan Flinstone untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan hari kedua esok. – KOSMO! ONLINE