fbpx

Perisai Komuniti: Persiapan Manchester City belum sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CITY memulakan persiapan pramusim mereka agak lewat selepas berdepan jadual padat bagi meraikan kejayaan menjulang gelaran trebel musim lalu. - FB MANCHESTER CITY

LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola melancarkan perang psikologi apabila mendakwa Arsenal berkelebihan berbanding pasukannya menjelang aksi Piala Perisai Komuniti di Wembley malam ini.

Guardiola, 52, menegaskan, tempoh persiapan City lebih singkat berbanding Arsenal disebabkan jadual padat mereka selepas menjuarai tiga gelaran, Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Liga Juara-Juara musim lalu.

“Situasi kami ketika ini tidak begitu bagus. Kami menamatkan musim lalu dua minggu lebih lewat daripada Arsenal yang memulakan persediaan mereka dua minggu lebih awal.

“Kami tidak berada pada kedudukan yang bagus dan boleh dikatakan hampir setiap musim kami mengalami masalah sama. Saya harap pemain ada mentaliti untuk mengharunginya.

“Cabaran sekarang amat sukar dan kita akan melihatnya dalam tempoh 11 bulan bermula dari sekarang. Semua pasukan akan berusaha memberikan kesukaran kepada kami,” katanya.

Selain itu, Guardiola merasakan kehadiran tiga bintang baharu Arsenal iaitu Kai Havertz, Declan Rice dan Jurrien Timber mampu menghadirkan masalah kepada The Citizens.

City ketika ini baru membawa masuk seorang pemain iaitu Mateo Kovacic dan masih belum melengkapkan urusan membeli bek tengah RB Leipzig, Josko Gvardiol yang kini dalam proses menjalani ujian perubatan.

“Saya tidak kecewa Rice memilih ke Arsenal. Dia pemain penting buat England dan saya mengucapkan selamat maju jaya kepadanya.

“Arsenal tidak membeli hanya untuk membesarkan pasukan, sebaliknya mereka mendapatkan pemain yang berkualiti. Jadi saya menjangkakan kesukaran nanti,” jelas Guardiola.

Bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu tidak begitu memandang serius saingan merebut Piala Perisai Komuniti yang menyaksikan City tewas 1-3 kepada Liverpool musim lalu.

Walaupun kehilangan Ilkay Gundogan ke Barcelona dan Riyad Mahrez menyertai Al-Ahli di Arab Saudi tetapi City masih memiliki Erling Haaland yang muncul penjaring terbanyak EPL musim lalu dengan 36 gol.

Pertemuan terakhir menentang Arsenal menyaksikan City menang 4-1 hasil dua jaringan Kevin De Bruyne dan satu daripada Haaland serta John Stones pada April lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI