KUALA LUMPUR – Hasrat perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia untuk melangkah ke final pertama musim ini tidak tertunai apabila tersingkir di separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia.
Pada perlawanan yang berlangsung di State Sports Centre, Sydney sebentar tadi, bekas juara Seluruh England (All England) itu dipaksa bermandi peluh sebelum tewas 19-21, 21-13, 13-21 kepada Weng Hong Yang dari China.
Walaupun gagal melangkah ke perlawanan akhir, namun Zii Jia sudah mula menunjukkan petanda positif apabila dia menampilkan aksi lebih baik berbanding kejohanan-kejohanan terdahulu.
Pada perlawanan tersebut, pemain berusia 25 tahun itu menunjukkan aksi memberangsangkan dalam dua set pertama, namun beberapa kesilapan mudah dilakukan di set ketiga memberi kelebihan kepada Hong Yang mengutip mata.
Menerusi keputusan itu, Hong Yang kini memiliki kelebihan dari segi rekod pertemuan apabila sudah mencatat dua kemenangan ke atas Zii Jia dalam tiga pertemuan, termasuk pada Kejohanan Badminton Asia 2022 serta Terbuka Singapura bulan lalu.
Untuk rekod, aksi di Terbuka Australia menyaksikan Zii Jia melangkah ke separuh akhir buat kali ketiga musim ini selepas turut melakukannya pada All England dan Terbuka Switzerland Mac lalu.
Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu kini memiliki masa lebih kurang dua minggu bagi melakukan persiapan sebelum menggalas cabaran pada Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung di Copenhagen, Denmark bermula 21 hingga 27 Ogos ini. – KOSMO! ONLINE