SEBERANG PERAI – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung sambutan positif oleh penyokong Perikatan Nasional (PN) di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hanyalah sekadar kenyataan politik.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, sambutan luar biasa juga diterimanya ketika turun berkempen di Kedah semalam.
“Tak mengapalah, itu kenyataan politik, saya di Kedah semalam, sambutan luar biasa baik. Kita tak boleh nafikan.
“Akhirnya, rakyat memilih pertama, satu politik yang stabil, yang menolak pandangan pelampau yang ekstrim dan juga memaju pertumbuhan ekonomi. Kita telah jelaskan kejayaan kita dalam bidang itu,” katanya kepada pemberita di Butterworth di sini, hari ini.
Semalam, Takiyuddin ketika berucap pada Ceramah Umum Pakat Pertahan Parlimen Ketereh di Kota Bharu, Kelantan berkata, Gelombang Perikatan Nasional (PN) di enam negeri memberi isyarat jelas Kerajaan Perpaduan akan turun takhta pemerintahan pada Ogos nanti.
Katanya, sambutan penyokong di enam negeri sehingga kini sangat positif dan meminta semua pengundi terus menyokong PN dengan menterjemahkan menerusi kertas undi pada 12 Ogos nanti. – KOSMO! ONLINE