PETALING JAYA – Shereen Samson Vallabouy semakin hampir untuk membuktikan statusnya sebagai ratu pecut negara apabila terbaharu memecahkan rekod 200 meter (m) kebangsaan berusia 25 tahun.
Shereen mencipta sensasi itu menerusi catatan 23.33 saat (s) pada Kejohanan Ed Murphey Classic di Memphis, Tennessee, Amerika Syarikat awal pagi tadi.
Ia sekali gus meleburkan rekod 200m kebangsaan dengan catatan 23.37s yang dilakukan bekas ratu pecut negara, G. Shanti sewaktu Kejohanan Olahraga Asia di Fukuoka, Jepun pada 22 Julai 1998.
Menariknya, ini adalah rekod kebangsaan peribadi yang kedua dipegang atlet berusia 25 tahun dari Ipoh, Perak itu selepas mencipta rekod 400m Malaysia dengan catatan 51.80s pada April lalu.
Kejayaan itu pastinya mampu mengubati kekecewaan Shereen yang terlepas untuk beraksi di pentas Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, Hungary bermula 19 Ogos ini.
Ia selepas Olahraga Dunia (WA) hanya meluluskan satu permohonan wildcard daripada Kesatuan Olahraga Malaysia dan memberikan slot tersebut kepada raja pecut negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi. – KOSMO! ONLINE