JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim buat julung kalinya memimpin jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) bagi tahun 2023, yang juga merupakan edisi ke-23 hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh laman Facebook rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, kali terakhir Tunku Ismail bersama adinda baginda memulakan jelajah berkenaan adalah pada tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19.
Kenyataan berkenaan turut menyatakan KMJ kali ini akan merentasi 10 daerah dengan perjalanan sejauh 879 kilometer dan acara pelepasan konvoi Diraja Johor berlangsung di Istana Pasir Pelangi yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli.
“KMJ merupakan ilham Sultan Ibrahim pada tahun 2001 sewaktu itu baginda merupakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang bertujuan bagi menyelami denyut nadi rakyat jelata.
“Sejak itu, KMJ telah menjadi salah satu acara utama tahunan negeri Johor dan telah merapatkan perhubungan Istana Johor di hati rakyat,” kata kenyataan berkenaan, hari ini.
Berangkat bersama dalam konvoi Diraja, Isteri TMJ, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah.
Turut berangkat menyaksikan majlis pelepasan KMJ 2023 di Istana Pelangi, Johor Bahru hari ini ialah YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim. – KOSMO! ONLINE