BAGAN DATUK – Tindakan pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam laut dan bersembunyi di dalam semak, gagal apabila berjaya dicekup anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.
Operasi bermula pukul 1 hingga 4 pagi itu dijalankan di jeti pelantar ikan di Hutan Melintang.
Pengarah JIM Perak, Hapdzan Husaini berkata, kehadiran pasukan operasi di lokasi serbuan, menyebabkan warga asing terbabit bertempiaran lari bagi menyelamatkan diri.
Bagaimanapun katanya, kecekapan pasukan operasi yang menutup semua ruang dengan mengepung premis berkenaan telah menggagalkan cubaan warga asing tersebut.
“Pasukan serbuan terpaksa memotong pintu pagar bagi membolehkan pegawai masuk ke kawasan premis tersebut.
“Setiap pintu bilik diketuk oleh pegawai kanan yang memperkenalkan diri serta menunjukkan kad kuasa jabatan untuk memberitahu tujuan kehadiran kepada penghuni yang mendiami bilik-bilik di lokasi serbuan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam serbuan itu, pemeriksaan dilakukan terhadap 61 warga asing terdiri daripada warga Thailand, Indonesia, Vietnam dan Myanmar yang berusia antara tujuh hingga 55 tahun dimana 59 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Kesemua mereka ditangkap untuk siasatan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Kesalahan lain yang dikesan adalah di bawah Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” katanya.
Tambah beliau, dua lelaki warga Myanmar juga diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi tujuan siasatan
“Dalam operasi bersepadu selama tiga jam ini, seramai 91 anggota terlibat membabitkan JIM Perak, JIM Putrajaya dan Maritim Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE