KUALA SELANGOR – Calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Khir Ramli menepis dakwaan wujud isu perpecahan sokongan dan kerjasama dalam kalangan kepimpinan UMNO Bahagian Tanjong Karang.
Malah, kempen jentera parti itu kini sudah memasuki ‘gear’ lima bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong kekal menjadi milik BN.
Menurut Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang yang mesra dikenali Ustaz Khir, 53, semangat perpaduan semua sayap parti itu sememangnya utuh sejak awal.
“Biarpun saya calon muka baharu dan kurang popular, sokongan jentera termasuk daripada komponen Kerajaan Perpaduan amat padu.
“Justeru, tiada timbul isu perpecahan kerana proses kempen yang memasuki tempoh seminggu ini berjalan lancar dan sudah gear lima,” katanya ketika ditemui di pekan Tanjong Karang di sini, hari ini.
Jelas Mohamad Khir, pihaknya turut menerima bantuan jentera daripada UMNO Bahagian Ledang dan Sembrong (Johor) selain Pensiangan serta Penampang (Sabah).
Dalam pada itu, beliau memfokuskan visi menjadikan DUN berkenaan sebagai lokasi agro pelancongan dan pertanian sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat kelak.
“Potensi itu antaranya melibatkan pembangunan inap desa dan chalet selain kepelbagaian tanaman termasuk sawah padi serta sayuran.
“Selain meningkatkan sosio ekonomi dan peluang pekerjaan, saya tidak mahu golongan muda terus keluar bekerja di bandar lain,” ujar anak tempatan kelahiran Kampung Ampangan, Tanjong Karang itu.
Mohamad Khir berdepan saingan dua penjuru menentang calon PN-Pas, Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin atau Ustaz Zamri Mantop yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjong Karang dan personaliti agama. -KOSMO! ONLINE