PASUKAN Sri Pahang hampir berputih mata sebelum merekodkan kemenangan dramatik 3-2 ke atas kelab Liga M3, Harini FT pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu, skuad Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad membariskan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan dibarisi Kpah Sherman, David Rowley dan Nor Azam Azih.
Pasukan pelawat dilihat tidak mempunyai masalah untuk pamer prestasi dominan pada babak pertama dengan berjaya mendahului menerusi jaringan pemain skuad Harimau Malaya, Rowley pada minit ke-20.
Bersambung pada separuh masa kedua, Sri Pahang terus menunjukkan bisa apabila kini giliran pemain pertahanan, Syazwan Andik untuk menggandakan kelebihan menjadi 2-0 pada minit ke-54.
Namun, Harini FC yang dibimbing P. Maniam enggan mengibarkan bendera putih terlalu awal dan dapat merapatkan kedudukan hasil gol pemain tengah, Muhammad Fikrih Shah berselang lima minit kemudian.
Pemain gantian yang juga bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha mempamerkan belang untuk menyamakan kedudukan selepas menyudahkan gerakan menarik pasukan tuan rumah pada minit ke-74.
Namun, Sri Pahang memastikan pasukan lawan ‘gigit jari’ apabila pemain tengah, Muhamad Baqiuddin Shamsudin meledak gol kemenangan pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan moral dapat dibawa ke Kuantan nanti.
Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan dan aksi kedua antara kedua-dua pasukan dijadualkan berlangsung pada 20 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE