PETALING JAYA – Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil memperjelaskan isu berhubung larangan penganjuran perlawanan bola sepak bagi mengelakkan salah faham rakyat.
Katanya yang mesra dipanggil Pak Long Mail memahami kemarahan beberapa penyokong bola sepak yang merasakan ketidakadilan kerana sukan itu dilarang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Dalam perlawanan bola sepak, penjarakan sosial adalah mustahil, malah berlaku pertembungan dan bersentuhan di atas padang lebih-lebih lagi dalam keadaan berpeluh.
“Semestinya perlawanan bola sepak turut melibatkan beberapa negeri dan ia akan melibatkan pergerakan rentas negeri,” katanya menerusi status Facebooknya rasminya di sini tadi.
Jelasnya lagi, prosedur operasi standard (SOP) di dalam bilik persalinan juga sukar di kawal selain perjalanan pemain ke tempat perlawanan ketika menggunakan bas.
“Banyak bahayanya kepada pemain bola sepak itu sendiri dan juga kru terlibat. Perlawanan bola sepak bukanlah dibatalkan terus tetapi ditangguhkan sehingga tamat PKPB.
”Keputusan (penangguhan perlawanan) diambil dengan mengambil kira pelbagai aspek yang jelas untuk kebaikan bersama. Fikirkan juga keselamatan dan nyawa pemain-pemain bola sepak kita,” jelasnya. – K! ONLINE